Posted on

Masyarakat Melayu Singapura: Cabaran dan Usaha Membangun

Orang Melayu Singapura sering dikatakan kelompok masyarakat yang bermasalah di negara ini. Walaupun hanya mewakili 13.4% sahaja daripada keseluruhan masyarakat Singapura, namun begitu banyak sekali masalah yang dikaitkan dengan kelompok ini. Masalah sosial dalam kelangan remaja Melayu, masalah tahap pendidikan orang Melayu, masalah tahap ekonomi dan pendapatan orang Melayu adalah antara topik yang sering dibincangkan.  Kelompok ini juga dikatakan amat sukar untuk diintegrasikan dengan masyarakat. Dalam satu wawancara bersama PM Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu, beliau mengakui sendiri bahawa kelompok ini adalah amat sukar diintegrasikan dengan masyarakat lain di negara ini dek kerana perbezaan agama Islam yang dikatakan terlalu mengongkong kehidupan mereka.

Buku The Singapore Dilemma: The Political And Educational Marginality of the Malay Community yang ditulis oleh Lily Subaidah telah menggambarkan masalah yang dihimpit oleh masyarakat Melayu di Singapura. Terpinggir, dinafikan hak, tidak boleh bersuara, itulah intipati secara umum dalam buku ini. Namun sama ada tulisan ini mewakili seluruh suara masyarakat Melayu Singapura masih tidak dipastikan. Persoalannya, adakah masalah ini berpunca dari sikap orang Melayu itu sendiri, atau dasar kerajaan ?

Jika di Malaysia, buku tulisan Tun Dr Mahathir Muhammad, The Malay Delemma yang mengaitkan sikap orang Melayu yang malas dan terlalu bergantung harap kepada bantuan kerajaan mengundang begitu banyak kritikan dan kecaman. Namun adakah sikap negatif yang digambarkan oleh Tun Dr Mahathir Muhammad ini turut dihidapi oleh masyarakat Melayu Singapura ? Jika diteliti, dasar kerajaan Singapura yang mengamalkan sistem meritokrasi dalam setiap aspek adalah berbeza dengan dasar di Malaysia. Di Malaysia, mereka mengutamakan hak-hak orang Melayu dan Bumiputra sebagai penduduk asal di negara tersebut. Di negara ini pula, peluang adalah sama rata dan  setiap individu bersaing secara sihat untuk mendapat tempat dalam sektor-sektor tertentu. Jadi, tiada istilah Melayu malas di Singapura.

Apa yang dapat dilihat, masyarakat Melayu Singapura sentiasa komited untuk berubah ke arah yang lebih baik. Sebagai masyarakat minoriti, kita berusaha untuk memajukan diri dan mendapat tempat dalam negara demokrasi ini. Tiada istilah hanya bergantung harap kepada bantuan kerajaan seperti yang berlaku di negara jiran. Ramai anak Melayu yang telah berjaya menerajui pelbagai sektor -sektor utama di negara ini. Bidang perniagaan, pendidikan, sukan, fesyen dan sebagainya adalah antara sektor yang telah banyak diterokai oleh orang Melayu. Malahan mereka ini telah menempa nama di persada antarabngsa. Nama seperti Asley  Isham dalam bidang fesyen , Salleh Marican dalam sektor korporat, Aishah Muhamad dalam bidang sukan layar adalah antara bintang-bintang Singapura yang bersinar di mata dunia.

Adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa sesuatu kelompok itu bermasalah dek kerana sikap segelintir sahaja. Perkara paling utama adalah sebagai kelompok minoriti, perlu sentiasa bersatu padu membantu antara satu sama lain, umpama pepatah Melayu, serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Biar sedikit kelompok kita, bila bersatu tak akan rebah dipukul ombak. Hayati sejarah nenek moyang kita, bukankah mereka mereka telah menjadi pelaut, peneroka, malah panakluk terkemuka. Bukankah mereka telah mengembangkan sayap menjadi pedagang dan peniaga masyur.  Buangkan sikap negatif seperti hasad dengki, malas, buang masa dan sebagainya. Teruskan usaha dan jadilah warganegara yang baik ke atas tanah air yang kita cintai ini.